pertandingan bahas antara sekolah menengah


PIALA BERITA HARIAN
2004

laporan dari ruangan akhbar / Cyberita

BH JUMAAT 19 MAC 2004

Siapa 'hot' di sebalik realiti debat berapi-api?

[ oleh Dewani Abbas ]

SIAPAKAH yang tergamam seribu bahasa dek dilanda Fear Factor?

Siapa pula yang muncul sebagai Survivor di akhir perdebatan 'berapi-api'?

Dapatkah sekolah-sekolah yang 'bertaring' dalam gelanggang perbahasan seperti Raffles Institution (RI), St Joseph's Institution (SJI) dan Sekolah Perempuan Cedar mengekalkan kedudukan? Kirakan, Are They Still Hot?

Inilah persoalan yang muncul di fikiran penulis di peringkat saringan Pertandingan Bahas Piala Berita Harian 2004 di auditorium Masjid Sultan hujung minggu lalu.

Terasa bagaikan disampuk demam program realiti. Maklumlah salah satu mauduk hangat (walau bahangnya tidak begitu menyengat) yang diperdebatkan ialah Rancangan realiti Amerika Syarikat di televisyen mencemar minda penonton.

Namun, apakah realiti di akhir 16 sesi saringan? Jika terdapat Anugerah Khas Bahas Piala Berita Harian, siapakah yang layak ditabalkan sebagai pemenang?

Anugerah Are You Hot?

Pemenang: RI & Sekolah Perempuan Cedar

Mauduk: Ahli sukan import gagal mengharumkan nama Singapura

Setiap kali kedua-dua sekolah ini bertembung, 'bahangnya' terasa. Kedua-dua kumpulan sememangnya berupaya menarik minat dan perhatian penonton dengan hujah 'berapi-api' dan gaya berbahas spontan. Pendek kata, syoklah tengok mereka 'bertikam lidah'!



- Suanggita Emerlin (Cedar) penuh emosi menegaskan sesuatu -
Inilah senjata para pembahas...

- Senjata yang digunakan para pembahas -  


Anugerah Fear Factor

Pemenang: Angelina Noviani 

(Sekolah Perempuan Methodist)

Ketika membangkang mauduk
"Rancangan realiti Amerika Syarikat di televisyen mencemar minda penonton", Angelina - yang menggunakan contoh program realiti berkonsepkan 'siapa berani', Fear Factor - mendapati dirinya dilanda rasa gementar.

Katanya dengan nada perlahan dan tersekat-sekat:

'Berdiri di hadapan para hadirin sekalian mengingatkan saya kepada rancangan Fear Factor ini kerana saya sedang berusaha untuk mengatasi rasa gementar saya. Tambahan pula dengan kesejukan auditorium ini.'

Sejurus hujahnya tamat, beliau 'membenamkan' mukanya di atas meja sambil dipujuk rakan-rakannya.

Namun, di sebalik rasa gerunnya, penulis tabik semangat Angelina dan rakan-rakannya yang ghairah menempatkan nama MGS di gelanggang perbahasan BH buat julung-julung kalinya.

Guru sambilan Bahasa Melayu di MGS, Cik Rapiah Haji Badrun, 58 tahun, malahan, memuji semangat anak muridnya yang berani mencuba walaupun tidak meraih bimbingan secukupnya.

'Segalanya dilakukan sendiri. Kami hanya mampu memberi galakan dan sokongan moral, melihatkan keghairahan mereka 'bertarung' dengan sekolah lebih berpengalaman,' katanya.

Anugerah Survivor

Pemenang:
Siti Nurul Aiin Samsul Kahar 

(Sekolah Menengah West Spring)

Suaranya 'menggegarkan' auditorium bak halilintar 'membelah' angkasa. Sedang tiga rakan pembahasnya gementar sehingga ada yang tersasul dan setakat mampu tersenyum kerana terlupa apa yang ingin disampaikan, Siti Nurul Aiin pula mengejutkan ramai dengan hujahnya yang bernas lagi tonasinya yang 'garang'.

Antara lain, beliau, yang menentang Madrasah Aljunied Al-Islamiah, berkata:

'Panas telinga pihak pembangkang, panas lagi telinga saya mendengar hujah-hujah kamu!'

Si kecil molek yang berpengalaman berpidato ini, bagaimanapun, mengeluh sebab perlu membahagi-bahagikan masa antara peperiksaan, peraduan bahas dan kegiatan lain.

'Tercungap-cungap kami sebab kesuntukan masa membuat persiapan,' jelasnya.

I'm a survivor... yeah!

- Siti Nurul Aiin tenang sebelum berhujah -


Hmmm... apa yang difikirkan tu?
- SJI mendengar dengan hujah pihak lawan dengan teliti -


Anugerah 'Debate Idol' (Idola Perbahasan)

Pemenang:
SJI

Lihat saja empat wira SJI, Eric Heah, Andrew Halim, Dave Alexander dan Dismas Widita di gelanggang perbahasan. Walaupun bukan Melayu, kelancaran berbahasa Melayu mereka cukup mengagumkan.

Mereka adalah antara pembahas yang begitu spontan berbicara dengan jelas. Humor turut diselitkan. Dave juga sempat membuat demo gelekan bak gerudi 'Inul Ngebor'.

Eric yang muncul sebagai pembahas terbaik, berkata:

'Saya sebenarnya gementar sekali. Lutut terketar-ketar!'
Anugerah The Amazing Race

Pemenang:
Kesemua peserta sebab hanya diberi seminggu untuk membuat kajian terperinci.

Ramai yang mengeluh sebab kesuntukan masa. Walau apa pun situasinya, inilah masa pelajar menonjolkan kreativiti spontan. Kalah atau menang, sudah adat peraduan.

Selain MGS, Sekolah Menengah Pasir Ris adalah satu lagi sekolah yang menyertai perbahasan Piala Berita Harian buat kali pertama. Meskipun tewas, pembahas ketiga, Khairiana Ali, muncul sebagai pembahas terbaik.

Rakan pembahasnya, Norsabirah Salim, 16 tahun, berkata walaupun agak kelam kabut, mereka ghairah menyertai pertandingan itu untuk menguji sejauh mana kemampuan mereka.

'Walaupun kami dari sekolah kejiranan, kami tidak menganggapnya sebagai hambatan untuk sama-sama bertanding dengan sekolah elit yang lebih berpengalaman dalam perbahasan.

'Kami telah memasuki peraduan puisi, Gema Puisi Artistik tahun ini dan ingin mencuba sesuatu yang baru dengan harapan dapat menimba pengalaman bekerja secara kumpulan,' jelasnya.

Kehadiran penonton amat dialu-alukan
- Kehadiran penonton amat dialu-alukan -

Awak datang tak?
Kita datang tau, awak datang tak?


laporan BH 13 Mac 2004 >>>

laporan BH 26 Mac 2004 >>>

kembali ke lelaman utama >>>